Thursday 17 November 2011

Semua dicipta berpasangan



ALLAH menciptakan segala yang ada di alam ini berpasang-pasangan. Saling melengkapi, saling mengisi, bekerjasama, imbang-mengimbangi, mempengaruhi satu sama lain dan saling menyempurnakan.
Dengan  berpasang-pasangan itu, jika salah satunya tiada, yang lain bakal merasa kehilangan, timbul berbagai masalah dan persoalan lainnya.
Bagaikan malam dengan siang atau umpama tangan kanan dan tangan kiri. Kaya dan miskin, penguasa dan rakyat , ulama dan awam dan  seterusnya.
Pernahkah kita membayangkan adanya siang tanpa ada malam? Lantas apa gunanya dan apa maknanya? Atau sebaliknya ada malam tanpa ada siang? Yang ada, bakal muncul masalah. Sehingga Allah menyoal hal itu kepada kita di dalam Al-Quran untuk kita berfikir, yang bermaksud:  “Katakanlah, Terangkanlah kepadaku, jika Allah menjadikan untukmu malam itu terus menerus sampai hari kiamat, siapakah Tuhan selain Allah yang akan mendatangkan sinar terang kepadamu? Maka apakah kamu tidak mendengar?” (al-Qashah: 71-72)
Siang dan malam adalah pasangan serasi yang memungkinkan terjadinya kehidupan di muka bumi. Jika bumi hanya memiliki siang saja, maka kehidupan di muka bumi ini bakal musnah kerana terlalu panas. Permukaan bumi bakal mendidih hanya dalam hitungan beberapa ratus jam saja.
Sebaliknya jika bumi hanya memiliki malam, di bumi pun tidak akan muncul kehidupan kerana permukaan bumi bakal membeku. Juga hanya dalam hitungan ratusan jam saja.
Pergantian siang dan malam itulah yang menyebabkan munculnya mekanisme kehidupan secara sempurna di muka bumi. Allah menjadikan siang dan malam demi terciptanya kehidupan manusia di dalamnya. Itulah yang digambarkan Allah dalam berbagai ayat-Nya.
Bukan hanya soal siang dan malam sahaja Allah menciptakan pasangan. Kaya miskin juga adalah  pasangan yang serasi. Bolehkah anda bayangkan jika manusia di muka bumi ini kaya semua? Siapakah yang mahu melayani yang lain? Demikian juga bila miskin semua, siapa yang bakal membiayai kehidupan sosial? Maka, kehidupan sosial kita bakal berhenti kerananya.
Dalam hal yang lebih khusus Allah SWT menyebut tumbuh-tumbuhan, binatang dan manusia pun diciptakan berpasang-pasangan. Termasuk segala sesuatu, yang tidak kita ketahui.
Lelaki adalah pasangan wanita. Demikian pula sebaliknya. Jika mereka tidak berpasangan atau memilih pasangan yang lain, maka hasilnya adalah masalah. Baik secara individual ataupun sosial. Keduanya saling melengkapi dan memerlukan.
Mereka yang tidak berpasangan, ia menyalahi fitrahnya. Malangnya di zaman moden ini ramai yang tidak mengakui hikmah berpasangan. Ada yang berasa hidup lebih menyenangkan jika bersendirian. Mereka menganggap perkahwinan menjadi beban kepada mereka. Mereka menurut kata hati berbanding fitrah yang ditetapkan. Hasilnya masyarakat tidak berkembang, umat Islam berkurangan dan mereka tidak sedar mereka sudah mengingkari perintah Allah SWT dan Rasulullah s.a.w. Kembalilah kepada fitrah dan nikmatilah hikmah di sebalik tabir perkahwinan.

Erti sebuah tangisan


Menurut Ibn Qayyim, terdapat sepuluh jenis tangis iaitu:
  1. Menangis kerana kasih sayang dan kelembutan hati.
  2. Menangis kerana rasa takut.
  3. Menangis kerana cinta.
  4. Menangis kerana gembira.
  5. Menangis kerana menghadapi penderitaan.
  6. Menangis kerana terlalu sedih.
  7. Menangis kerana terasa hina dan lemah.
  8. Menangis untuk mendapat belas kasihan orang.
  9. Menangis kerana terikut orang menangis.
  10. Menangis orang munafik – pura-pura menangis.

“…dan bahawasanya Dialah yang menjadikan orang tertawa dan menangis.” (an-Najm: 43)
Allah yang menciptakan ketawa dan tangis, serta menciptakan sebab tercetusnya tangisan itu. Banyak air mata telah mengalir di dunia ini. Sumbernya dari mata mengalir ke pipi terus jatuh ke bumi. Mata itu kecil, namun ia tidak pernah kering berlaku setiap hari tanpa putus-putus. Seperti sungai yang mengalir ke laut tidak pernah berhenti.
Tangis tercela atau terpuji ? 
Ada tangisan yang sangat dicela umpamanya meratapi mayat dengan meraung dan memukul-mukul dada atau merobek-robek pakaian.
Ada pula tangisan sangat-sangat dipuji dan dituntut iaitu tangisan kerana menginsafi dosa lalu atau tangis kerana takutkan azab Allah.
Tangisan memadamkan api Neraka
“Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi, maka wajahnya tidak akan dikotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada satu kaum menangis, maka kaum itu akan dirahmati. Tidaklah ada sesuatupun yang tidak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka.”
Air mata taubat Nabi Adam a.s. yang menangis selama 300 tahun tanpa mendongak ke langit kerana takut terhadap dosa yang telah ia lakukan. Dia bersujud di atas gunung dan air matanya mengalir di jurang Serandip. Dari air mata itulah Allah telah menumbuhkan pohon kayu manis dan pohon bunga cengkih. Beberapa ekor burung telah meminum air mata Adam lalu berkata, “Manis sungguh air ini.” Nabi Adam terdengar lalu menyangka burung itu mempersendakannya lalu lagi kuat dia menangis.
Lalu Allah mendengar dan menerima taubat Adam dan mewahyukan, “Hai Adam sesungguhnya belum pernah menciptakan air lebih lazat daripada air mata taubat mu!.”
Air mata yang tidak dituntut
Jangan menangis jika  tidak tercapai cita-cita.  Jangan menangis ketika menonton filem yang cuma lakonan. Jangan menangis kerana cinta tidak berbalas kerana mungkin dia bukan jodoh kita. Jangan menangis jika gagal mendapat  pekerjaan mungkin kerana kita kurang membuat persediaan. Jangan menangis jika wang kita hilang di jalanan mungkin kerana kita kurang bersedekah dan beramal. Jangan menangis jika tidak dinaikkan pangkat kerana yakinlah rezeki itu adalah pemberian Tuhan.
Dari itu simpanlah air mata sebagai bekalan untuk menginsafi di atas segala kecuaian yang melanda diri, segala dosa-dosa yang berupa bintik-bintik hitam yang telah mengkelamkan hati hingga sukar untuk menerima hidayah dari Allah SWT. Serulah air mata itu dari persembunyiannya di balik kelopak mata agar ia menitis membasahi dan mencuci hati agar ia putih kembali dan semoga ia dapat melebur dosa-dosa kita.
Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Ada dua jenis mata yang tak tersentuh api neraka iaitu mata yang menangis di waktu malam kerana takut kepada Allah SWT dan mata yang menjaga pasukan fi sabillah di waktu malam.”
Berkata Salman Al Farisi r.a, “Aku menangis kerana tiga perkara:
1. Berpisah dengan Rasulullah s.a.w dan para sahabat. 
2. Ketakutan seorang yang perkasa tatkala melihat malaikat Izrail datang mencabut nyawanya. 
3. Aku tidak tahu sama ada aku akan diperintahkan untuk ke syurga atau neraka.
 Air mata tanda rahmat Tuhan
Rasulullah s.a.w bersabda : “Jagalah mayat ketika kematiannya dan perhatikanlah tiga perkara:
1. Apabila dahinya berpeluh. 
2. Airmatanya berlinang. 
3. Hidungnya keluar cecair seperti hingus. 
Perkara tersebut menandakan rahmat Allah SWT untuk si mayat. (riwayat dari Salman al Faarisi)
Sucikanlah empat hal dengan empat perkara: “Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan, Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu, Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Tuhanmu, dan dosa-dosa silam disulami dengan taubat kepada Yang Memiliki mu.”

Wednesday 16 November 2011

MENGERATKAN KASIH SAYANG SUAMI ISTERI


Jangan selalu dikelirukan apabila seorang wanita disebut sebagai isteri, bukanlah untuk merendahkan taraf wanita itu. Ia adalah sebagai suatu jaminan hak supaya mereka itu dipelihara, dilindungi dan dibela dengan baik oleh seorang suami.

Di dalam kehidupan rumahtangga, suami adalah tingkatan ketiga mulia setelah Allah dan rasul. 
Mengapa suami diletakkan ditempat yang begitu mulia ?. 
Jika dikaji dari sudut lahiriah sekalipun, seseorang yang bergelar "lelaki" itu memang mempunyai tanggungjawab yang berat dan besar. Selain menanggung nafkah, lelaki yang bergelar suami ini adalah jambatan untuk isteri mendapatkan redha Allah. Tanggungjawab sebagai ayah yang telah mendidik anak-anak sejak dari alam bayi hingga dewasa, semuanya tertanggung diatas bahu lelaki yang bergelar ayah dan suami itu. Suamilah yang terus menerus menanggung beban sehingga lahirnya zuriat bakal penyambung warisannya. 

Segala amal ma'ruf dan nahi mungkar, setiap apa yang dilakukan olehnya apalagi isterinya, akan dipikul olehnya di hari Qiamat kelak. Kerana itulah seorang isteri diwajibkan untuk mentaati suaminya selagi segala perintahnya itu tidak melanggar syariat. Kerana itu juga seorang wanita yang bergelar isteri, wajib mengetahui dan mempelajari segala hukum yang bersangkutan dengan kehidupan berumahtangga dan hal yang berkaitan dengan ketaatan terhadap suami agar terpelihara amal ibadahnya dan memperolehi kebajikan dan menfaat di dunia dan akhirat.

Telah tersebut di dalam kitab Muhimmah, bahawa para ulama telah mengingatkan kepada para isteri: Sesungguhnya antara dosa yang teramat besar derhaka isteri kepada suami ialah menegah akan suami untuk mengambil kesukaan yang ada pada dirinya sama ada untuk diwati (dijimak) yakni untuk memuaskan nafsunya dengan jalan yang halal (sah) di dalam Islam atau lainnya seperti melarang isteri itu ke atas suaminya menjamah dan menyentuh pada sebarang tempat anggota badannya. 

Firman Allah di dalam Al Quran: "Dihalalkan bagimu pada malam puasa bercampur dengan isteri kamu, mereka itu adalah pakaian bagimu dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawa kamu tidak dapat menahan nafsumu, kerana itu Allah mengampunkan kamu dan memberikan keringanan kepadamu. Maka sekarang campurilah mereka dan carilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan dan minumlah sehingga terang benang putih dari benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga malam (tetapi) janganlah kamu mencampuri mereka itu sedang kamu beriktikaf dalam masjid-masjid. Itulah larangan-larangan Allah, maka janganlah kamu mendekatinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatnya kepada manusia supaya mereka bertaqwa." - (Al Baqarah : 187) 

Dan firman Allah lagi di dalam surah Al Baqarah, ayat 223: "Isteri-isteri adalah seperti tanah tempat bercucuk tanam,maka datanglah (tanah) tempat bercucuk tanam sebagaimana sahaja yang kamu kehendaki, kerjakanlah (amal-amal) yang baik untuk dirimu. Bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah kamu kelak akan menemuiNya. Dan berikanlah khabar gembira bagi orang-orang yang beriman."

Demikianlah perumpamaan yang telah diberikan oleh Allah s.w.t terhadap para isteri. Suami diberi amanah untuk membimbing isteri ke arah kebaikan dan kebenaran. Bagi isteri pula, mereka hendaklah taat terhadap suami dan merasakan suamilah segala-galanya bagi diri mereka sebagaimana kiasan "mereka (isteri) adalah pakaian bagimu dan kamu adalah pakaian bagi mereka." Isteri hendaklah ingat dan sentiasa takut untuk keluar rumah tanpa izin suami. Kerana sesungguhnya laknat Allah amat besar bagi seorang isteri yang keluar rumah tanpa izin suami. Tetapi perlu diingat bagi para suami adalah haram mencegah isteri untuk keluar belajar ilmu Fardhu Ain dan segala ilmu yang wajib dituntut sekiranya suaminya itu tidak berkemampuan untuk mengajar. Sekiranya dia mampu mengajar, maka wajib dia mengajar isterinya akan segala ilmu Fardhu Ain dan isteri tidak boleh ingkar dan enggan untuk belajar. 

Jikalau suami mengajak isteri untuk berpindah dari rumah ibu dan ayah, janganlah si isteri enggan kerana isteri bukan lagi hak ibu dan ayah, tetapi hak suami. Isteri wajib mengikuti suaminya kemana sahaja suaminya pergi. Jikalau terdapat halangan untuk mengikuti suami, sedangkan suami redha, maka tidak mengapa tidak mengikut suami pergi atau berpindah ke mana-mana. 



Begitu juga layanan isteri kepada suami ketika suami balik dari kerja, mestilah yang menggembirakan hati suami dengan menyediakan minuman dan melemparkan kepadanya senyuman yang manis. Sesungguhnya separuh daripada keletihan itu akan hilang dengan melihat isteri tersenyum manis kepadanya. Ingatlah kehidupan rumahtangga adalah satu kehidupan yang saling memerlukan di antara satu sama lain. Kerana itu janganlah malu untuk memberikan kasih sayang kerana kita juga ingin disayangi dan memerlukan kasih sayang. 

Para isteri diingatkan jangan meminta talak. Sesungguhnya inilah dosa yang amat besar di sisi Allah bagi para isteri. Hati suami akan terluka disebabkan perkataan isteri. Dari itu berhati-hatilah semasa mengeluarkan perkataan ketika sedang marah. Hendaklah difikirkan dahulu apa yang hendak diperkata. Kerana perkataan yang kasar terhadap suami itu boleh menyebabkan kita dimurkai oleh Allah s.w.t.

Juga sekali-kali jangan bermasam muka dengan suami. Kejernihan muka dan keceriaan isteri itu adalah penenang fikiran dan jiwa bagi suami dari suasana luar rumah yang penuh maksiat dan durjana. Diri para isterilah tempat tatapannya dan tempat menumpah kasih. Pulangnya suami bila isteri menguntum senyum di pintu, akan menghilangkan segala kepenatan dan keletihan sepanjang hari. Oleh itu senyumlah selalu, nanti suami akan kasih dan Allah akan redha. 

Hendaklah bersangka baik dengan suami dan jangan mempertikaikan kesetiaan suami. Hati jarang merasa tenang kerana sering mempertikaikan kesetiaan masing-masing. Bila di dapati suami melakukan kesilapan atau punya kelemahan, hati semakin hancur dan timbul tindakan yang tidak tentu arah. Tidak hairanlah jikalau wujud risiko yang sebegitu rupa kerana cinta diletakkan pada hamba yang lemah, bukan pada Allah yang Maha Esa. Di dalam Islam, cinta yang sejati itu adalah cinta yang diserahkan kepada Allah s.w.t dan suami hanyalah jalan untuk isteri memperolehi redha Allah. Cinta suci hanya lahir daripada iman dan taqwa. Hati orang yang bertaqwa adalah untuk Allah dan RasulNya. Hati yang demikian akan melihat akhirat lebih utama daripada dunia. Maka orang yang sedemikian akan mengorbankan dunianya untuk akhirat. 

Dalam pada itu para suami haruslah berlaku adil terhadap isterinya. Sememangnya di dalam Islam hak isteri pada suami memang banyak, tetapi hak suami kapada isteri tidak kurang pentingnya pula. Bagi para suami mendidik dirinya, isteri dan anak-anak menghayati Islam adalah wajib, jikalau tidak suami dihukumkan dayus. Setengah ulama menyifatkan makna dayus itu, suami yang membiarkan isteri dan anak-anaknya terjebak dengan maksiat dan mungkar. Maka tersuratlah di sepanjang pintu syuga yang bermaksud: "Engkau hai syurga ! Haramlah atas segala lelaki yang dayus." Maka apabila datangnya Hari Qiamat, Allah S.W.T akan menghukumkan suami terlebih dahulu di dalam segala hal kebajikan berbanding dengan isteri dan anak-anaknya kerana suamilah yang menentukan segala hal dan berkuasa di dalam rumahtangganya. 
Firman Allah: 
"Peliharalah diri dan ahli keluargamu dari api neraka." - (At Tahrim: 5) 

Para isteri hendaklah mendorong suami untuk melakukan sebanyak mungkin kebaikan dan ibadah demi menyelamatkan keluarga daripada azab Allah. Hal ini akan melahirkan sikap sensitif terhadap perjuangan untuk menegakkan agama Allah. Segala tindak tanduk didorong untuk membangunkan agama Allah ini. Suami digalakkan belajar ilmu agama dan bergaul dengan mereka yang arif tentang Islam. 

Kalau kita mahukan masyarakat jadi tenang, aman dari sebarang maksiat dan kemungkaran, maka kita hendaklah membetul rumahtangga dengan mengeratkan kasih sayang suami isteri dan membetulkan niat kita mendirikan rumahtangga iaitu mengelakkan kita daripada kemaksiatan serta meletakkan cinta kepada Allah didalam mengatur rumahtangga selaras dengan hukum hakam yang telah digariskan oleh syariat. 

PANDUAN KE ARAH ISTERI TELADAN


Daripada Imam Ahmad dan Imam Muslim, daripada Umar .a., Rasulullah sallallahualaihi-wasallam bersabda : 
“Bermula dunia ini ialah kesukaan dan keseronokan dan sebaik-baik kesukaan itu ialah perempuan yang solehah.”

Dalam sebuah hadis yang Rasulullah sallallahualaihiwasallam bersabda: “Mahukah kamu aku beritahu dari hal sebaik-baik barang yang perlu disimpan oleh seorang lelaki?” Iaitu isteri yang solehah. Jika suami melihat kepadanya diaakan gembira , jika suaminya menyuruh sesuatu dia akan taati dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya dan memelihara kehormatan dirinya.” (hari:Ibnu Majah)

Isteri yang solehah itu selalu memerhatikan akan tanggungjawabnya sebagai isteri, ia hanya berbuat sesuai dengan ketentuan Allah. Di antara ciri-ciri isteri solehah itu ialah bertanggungjawab terhadap kerja-kerjanya. Pada dasarnya kewajipan isteri solehah itu ialah: 



1. Patuh dan taat kepada suami yang soleh 

Rumahtangga bahagia sebenarnya terletak pada isteri yang solehah. Ia taat kepada perintah Allah dan Rasul serta setia kepada suami yang soleh. 

“Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya ) di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka…” 

(Surah An-Nisa’:34)

Isteri yang solehah itu di samping patuh kepada perintah Allah dan Rasulullah sallallahualaihi-wasallam, ia patuh terhadap suaminya dan menyimpan segala rahsia baik diluar rumah mahupun di dalam rumah. Ia selalu tersenyum dan menunjukkan muka manis terhadap suaminya. Tabiatnya yang baik itu menambah kasih sayang suaminya terhadapnya. Ia tidak pernah membantah kata-kata suaminya yag baik, semuanya dikerjakan dengan patuh kerana Allah. 

Isteri yang baik apabila berkata dengan suaminya dengan suara yang lemah lembut dan penuh kesopanan . Begitu pula tidak boleh memerintah kepada suami, kecuali diucapkan dengan suatu yang baik sebagai suatu pertolongan. Walau bagaimanapun, ketaatan isteri terhadap suami tidak dalam semua perkara. Sekiranya perintah suami boleh membawa dosa, maka isteri dibenarkan membantah. 

Rasululllah bersabda, “Jika diizinkan seorang manusia sujud kepada manusia,tentu aku akan suruh wanita-wanita sujud kepada suaminya lantaran begitu besar Allah jadikan hak lelaki keatas wanita” 

2. Menguruskan rumahtangga 

Seorang isteri Muslimah disuruh oleh Allah agar sentiasa berada dirumah dan tidak boleh pergi kemana-mana sesuka hati tanpa izin suami. Duduk dirumah bukan bererti hanya berdiam diri sahja tetapi mengerjakan tugas sebagai isteri. 

Hikmah daripada perintah Allah tersebut iaitu, supaya para isteri dapat menjaga dan mendidik anak secara lebih sempurna ketika suami mencari rezeki. Disamping itu isteri dapat melakukan pekerjaan rumah seperti menghias rumah dan sebagainya.Walaupun ianya nampak remeh, tetapi ianya amat bermanfaat untuk menjamin keharmonian keluarga. 

3.Berhias untuk suami 

Menghias diri merupakan kegemaran wanita. Namun kadangkala wanita yang tidak faham akan kewajipannya,ia berhias diri ketika akan keluar rumah. Tetapi ketika di rumah ia dalam keadaan tidak bersih, kadangkala ramutnya pun tidak terurus. Padahal di dalam Islam menganjurkan supaya isteri berhias hanya untuk suami. 

Tujuan isteri berhias ketika di rumah ialah supaya suami terhibur. Jika suami pulang dari tempat kerja dalam keadaan letih dengan melihat isteri dalam keadaan berseri-seri serta pakaian yang bersih, maka ia menjadi penawar kepada suami. Sehingga keletihan dalam mencari rezeki tadi menjadi hilang, dan bertambahlah kasih sayangnya terhadap isteri. menjadi hilang, dan bertambahlah kasih sayangnya terhadap isteri. 
Sabda Rasulullah SAW: 
“Dari Jabir ra. Ia berkata: Kami pernah pergi bersama-sama Rasulullah di dalam satu peperangan. Ketika kami sampai ke Madinah, kami ingin masuk ke rumah masing-masing. Maka Rasulullah SAW pun bersabda: Bersabarlah, iaitu masuklah pada waktu malam iaitu selepas Isyak, supaya isteri dapat bersikat rambutnya yang kusut dan supaya ia dapat berhias kerana telah lama telah ditinggalkan suaminya.” 
(hari:Muttafaqun Alaihi)
Berhias bukan sahaja bagi menyambut kepulangan suami dari tempat kerja tetapi juga ketika suami ada di rumah. Wanita Islam hanya boleh berhias untuk dirinya sendiri dan untuk suaminya. Berhias mestilah dilakukan secara besederhana , kerana tujuan berhias agar ia kelihatan bersih dan senang dilihat oleh suami. 

4. Melayani suami 

Hubungan seks merupakan penawar kebahagiaan rumahtangga. Ia dipandang sebagai punca keharmonian rumahtangga. Oleh sebab itu isteri hendaklah memberikan layanan yang baik kepada suami dan tidak boleh menolak kemahuan suaminya . 

Seorang isteri akan dikutuk oleh malaikat apabila ia menolak kemahuan suaminya sehinggalah suaminya reda kepadanya. Mungkin dalam keadaan tertentu isteri boleh menolak kemahuan suaminya seperti dalam keadaan sekit, atau dalam keadaan yang dilarang oleh syara’ untuk melakukan persetubuhan seperti dalam keadaan haid dan sebagainya. 

5. Berpakaian menurut ajaran Islam 

Isteri yang menutup auratnya merupakan isteri yang solehah, ramai wanita pada zaman sekarang ini yang berpakaian tetapi telanjang kerana ia menutup bahaian tertentu sahaja, kalau menutup semua pun tetapi bentuk badannya tetap nampak jelas. 

Allah SWT berfirman, ertinya: 
“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah sebagai perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” 

(Surah Al-A’raar:26)

Jilbab merupakan satu fesyen pakaian wanta Islam yang menutup tubuh atau sebahagian besar badan wanita di sebelah atas, kecuali muka dan tapak tangan. Jilbab tidak menampakkan tubuh badan. Allah memerintahkan supaya berpakaian demikian supaya dapat membezakan antara wanita beriman dan tidak beriman, ia juga supaya terhindar dari golongan munafik. 

Firman Allah yang bermaksud: 
“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri- isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka mengulurkan Jilbab mereka ke seluruh tubuh mereka.”Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Penganmpun lagi Maha Penyayang.” 
(Surah Al-Ahzab:59)

6. Memberi motivasi terhadap cita-cita suami 
Isteri yang solehah adalah isteri yang mahu menjadi teman berunding bagi suami dan menjadi sahabat dalam menyelesaikan pelbagai masalah. Itulah hubungan suami isteri itu diertikan orang sebagai “teman hidup”.Jika suami menghadapi masalah untuk mencapai cita-citanya dan cita-cita keluarga maka bermotivasilah kepadanya dan hiburkanlah hatinya . 

Isteri teladan disamping ia memberi dorongan dan bermotivasi kepada suami ia juga merupakan sumber ilham bagi suami. Ini membuatkan hati suami tenteram apabila bersama isteri dan segala masalah dihadapinya bersama-sama. 

Di antara ciri-ciri isteri solehah yang lain ialah: 

Mentaati Allah SWT dan mengerjakan segala perintah suami selagi tidak melanggar perintah Allah. 
Bersikap malu terhadap suami. 
Berdiam diri ketika suami sedang berkata-kata, baru berbicara setelah ia selesai berbicara. 
Berdiri tegak sebagai tanda hormat semasa ia datang dan pergi. 
Sentiasa menyerahkan diri kepadanya apabila ia memerlukannya. 
Memakai wangi-wangian di hadapan suami. 
Menjaga mulut daripada bau-bauan yang tidak menyenangkan. 
Tidak mengkhianati dan berlaku curang terhadapnya ketika ketiadanya suami. 
Sentiasa menghormati keluarga suami . 
Bersyukur di atas apa yang disediakan oleh suami. 
Tidak berpuasa sunat tanpa kebenaran suami. 
Tidak keluar rumah kecuali dengan izin suami

Tuesday 15 November 2011

Isteri Solehah

Isteri cerdik yang solehah
Penyejuk mata, penawar hati, penajam fikiran
Di rumah dia isteri, di jalanan kawan
Di waktu kita buntu, dia penunjuk jalan

Pandangan kita diperteguhkan
Menjadikan kita tetap pendirian
Ilmu yang diberi dapat disimpan
Kita lupa, dia mengingatkan

Nasihat kita dijadikan pakaian
Silap kita, dia betulkan
Penghibur di waktu kesunyian
Terasa ramai bila bersamanya

Dia umpama tongkat si buta
Bila tiada satu kehilangan
Dia ibarat simpanan ilmu
Semoga kekal untuk diwariskan

Monday 14 November 2011

KELEBIHAN DIKURNIAKAN PADA WANITA SOLEHAH


1.
 Doa wanita lebih maqbul dari lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat dari lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulallah SAW akan hal tersebut, jawab baginda : “Ibu lebih penyayang dari bapak dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia.”

2. Wanita yang solehah itu lebih baik dari 1,000 orang lelaki yang soleh.

3. Seorang wanita solehah adalah lebih baik dari 70 orang wali.

4. Seorang wanita solehah adalah lebih baik dari 70 lelaki soleh.

5. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, derajatnya seumpama orang yang senantiasa menangis kerana takutkan Allah SWT dan orang yang takutkan Allah SWT akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

6. Barang siapa yang membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah) lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedakah. Hendaklah mendahulukan anak perempuan dari anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail AS

7. Tidaklah seorang wanita yang haidh itu, kecuali haidhnya merupakan kifarah (tebusan) untuk dosa-dosanya yang telah lalu, dan apabila pada hari pertama haidhnya membaca “Alhamdulillahi’alaa Kulli Halin Wa Astaghfirullah”. Segala puji bagi Allah dalam segala keadaan dan aku mohon ampun kepada Allah dari segala dosa.”; maka Allah menetapkan dia bebas dari neraka dan dengan mudah melalui shiratul mustaqim yang aman dari seksa, bahkan AllahTa’ala mengangkatnya ke atas darjat, seperti darjatnya 40 orang mati syahid, apabila dia selalu berzikir kepada Allah selama haidhnya.

8. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah SAW.) di dalam syurga.

9. Barang siapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan, lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa taqwa serta bertanggung jawab, maka baginya adalah syurga.

10. Dari ‘Aisyah r.ha. “Barang siapa yang diuji dengan sesuatu dari anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka merekaakan menjadi penghalang baginya dari api neraka.”

11. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

12. Apabila memanggil akan engkau kedua ibu bapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.

13. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

14. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya dan meredhainya. (serta menjaga sembahyang dan puasanya)

15. ‘Aisyah r.ha. berkata “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW. siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita ?” Jawab baginda, “Suaminya”. “Siapa pula berhak terhadap lelaki ?” Jawab Rasulullah SAW. “Ibunya”.

16. Seorang wanita yang apabila mengerjakan solat lima waktu, berpuasa wajib sebulan (Ramadhan), memelihara kehormatannya serta taat kepada suaminya, maka pasti akan masuk syurga dari pintu mana saja yang dia kehendaki.

17. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah SWT memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu dari suaminya (10,000 tahun).

18. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah SWT mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

19. Dua rakaat solat dari wanita yang hamil adalah lebih baik dari 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.

20. Wanita yang hamil akan dapat pahala berpuasa pada siang hari.

21. Wanita yang hamil akan dapat pahala beribadat pada malam hari.

22. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah SWT mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah SWT

23. Wanita yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa dan setiap kesakitan pada satu uratnya Allah mengurniakan satu pahala haji.

24. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

25. Sekiranya wanita mati dalam masa 40 hari selepas bersalin, dia akan dikira sebagai mati syahid.

26. Wanita yang memberi minum susu kepada anaknya dari badannya (susu badan) akan dapat satu pahala dari tiap-tiap titik susu yang diberikannya.

27. Jika wanita menyusui anaknya sampai cukup tempoh (2 1/2 tahun), maka malaikat-malaikat di langit akan khabarkan berita bahawa syurga baginya.

28. Jika wanita memberi susu badannya kepada anaknya yang menangis, Allah akan memberi pahala satu tahun solat dan puasa.

29. Wanita yang habiskan malamnya dengan tidur yang tidak selesa kerana menjaga anaknya yang sakit akan mendapat pahala seperti membebaskan 20 orang hamba.

30. Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anak yang sakit akan diampunkan oleh Allah akan seluruh dosanya dan bila dia hiburkan hati anaknya Allah memberi 12 tahun pahala ibadat.

31. Apabila seorang wanita mencucikan pakaian suaminya, maka Allah mencatatkan baginya seribu kebaikan, dan mengampuni dua ribu kesalahannya,bahkan segala sesuatu yang disinari sang suria akan meminta keampunan baginya, dan Allah mengangkatkannya seribu darjat untuknya.

32. Seorang wanita yang solehah lebih baik dari seribu orang lelaki yang tidak soleh, dan seorang wanita yang melayani suaminya selama seminggu, maka ditutupkan baginya tujuh pintu neraka dan dibukakan baginya lapan pintu syurga, yang dia dapat masuk dari pintu mana saja tanpa dihisab.

33. Mana-mana wanita yang menunggu suaminya hingga pulanglah ia, disapukan mukanya, dihamparkan duduknya atau menyediakan makan minumnya atau memandang ia pada suaminya atau memegang tangannya, memperelokkan hidangan padanya,memelihara anaknya atau memanfaatkan hartanya pada suaminya kerana mencari keridhaan Allah, maka disunatkan baginya akan tiap-tiap kalimah ucapannya,tiap-tiap langkahnya dan setiap pandangannya pada suaminya sebagaimana memerdekakan seorang hamba. Pada hari Qiamat kelak, Allah kurniakan Nur hingga tercengang wanita mukmin semuanya atas kurniaan rahmat itu. Tiada seorang pun yang sampai ke mertabat itu melainkan Nabi-nabi.

34. Tidakkan putus ganjaran dari Allah kepada seorang isteri yang siang dan malamnya menggembirakan suaminya.

35. Wanita yang melihat suaminya dengan kasih sayang dan suaminya melihat isterinya dengan kasih sayang akan di pandang Allah dengan penuh rahmat.

36. Jika wanita melayan suami tanpa khianat akan mendapat pahala 12 tahun solat.

37. Wanita yang melayan dengan baik suami yang pulang ke rumah di dalam keadaan letih akan medapat pahala jihad.

38. Jika wanita 
mengurut suami tanpa disuruh akan mendapat pahala 7 tola emas dan jika wanita mengurut suami bila disuruh akan mendapat pahala tola perak.

39. Dari Hadrat Muaz ra.: Mana-mana wanita yang berdiri atas dua kakinya membakar roti untuk suaminya hingga muka dan tangannya kepanasan oleh api,maka diharamkan muka dan tangannya dari bakaran api neraka.

40. Thabit Al Banani berkata : Seorang wanita dari Bani Israel yang buta sebelah matanya sangat baik khidmatnya kepada suaminya. Apabila ia menghidangkan makanan dihadapan suaminya, dipegangnya pelita sehingga suaminya selesai makan. Pada suatu malam pelitanya kehabisan sumbu, maka diambilnya rambutnya dijadikan sumbu pelita. Pada keesokkannya matanya yang buta telah celik. Allah kurniakan keramat (kemuliaan pada perempuan itu kerana memuliakan dan menghormati suaminya).

41. Pada suatu ketika di Madinah, Rasulullah SAW. keluar mengiringi jenazah. Baginda dapati beberapa orang wanita dalam majlis itu. Baginda lalu bertanya, “Adakah kamu menyembahyangkan mayat ?” Jawab mereka,”Tidak”. Sabda Baginda “Sebaiknya kamu sekalian tidak perlu ziarah dan tidak ada pahala bagi kamu. Tetapi tinggallah di rumah dan berkhidmatlah kepada suami niscaya pahalanya sama dengan ibadat-ibadat orang lelaki.

42. Wanita yang memerah susu binatang dengan “Bismillah” akan di doa'kan oleh binatang itu dengan doa keberkatan.

43. Wanita yang menguli tepung gandum dengan “Bismillah” , Allah akan berkahkan rezekinya.

44. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti meyapu lantai di Baitullah.

45. “Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang mengeluarkan peluh ketika membuat roti, Allah akan mejadikan 7 parit diantara dirinya dengan api neraka, jarak diantara parit itu ialah sejauh langit dan bumi.”

46. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang, Allah akan mencatatkan untuknya perbuatan baik sebanyak utus benang yang dibuat dan memadamkan seratus perbuatan jahat.”

47. “Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang menganyam akan benang dibuatnya, Allah telah menentukan satu tempat khas untuknya di atas tahta di hari akhirat.”

48. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang dan kemudian dibuat pakaian untuk anak-anaknya maka Allah akan mencatatkan baginya ganjaran sama seperti orang yang memberi makan kepada 1000 orang lapar dan memberi pakaian kepada 1000 orang yang tidak berpakaian.”

49. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang meminyakkan rambut anaknya,menyikatnya, mencuci pakaian mereka dan mencuci akan diri anaknya itu, Allah akan mencatatkan untuknya pekerjaan baik sebanyak helai rambut mereka dan memadamkan sebanyak itu pula pekerjaan jahat dan menjadikan dirinya kelihatan berseri di mata orang-orang yang memerhatikannya.”

50. Sabda Nabi SAW: “Ya Fatimah barang mana wanita meminyakkan rambut dan janggut suaminya, memotong kumis (misai) dan mengerat kukunya, Allah akan memberi minum akan dia dari sungai-sungai serta diringankan Allah baginya sakaratul maut dan akan didapatinya kuburnya menjadi sebuah taman dari taman- taman syurga dan dicatatkan Allah baginya kelepasan dari api neraka dan selamatlah ia melintas Titian Shirat.”

51. Jika suami mengajarkan isterinya satu masalah akan mendapat pahala 80 tahun ibadat.

52. Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumahtangganya akan masuk syurga 500 tahun lebih awal dari suaminya, akan menjadi ketua 70,000 malaikat dan bidadari dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga, dan menunggu suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat dari yakut.

53. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat,tetapi Allah akan datang sendiri kepada wanita yang memberati auratnya (menjaga aurat) iaitu memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah.

54. Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah.

55. Salah satu tanda keberkatan wanita itu ialah cepat perkahwinannya,cepat pula kehamilannya dan ringan pula maharnya (mas kahwin).

56. Sebaik-baik wanita ialah wanita (isteri) yang apabila engkau memandang kepadanya ia 
mengembirakan engkau, jika engkau memerintah di ta'atinya perintah engkau (taat) dan jika engkau berpergian dijaga harta engkau dan dirinya.

57. Dunia yang paling aku sukai ialah wanita solehah.

58. Rasulullah SAW bersabda bahawa, “Allah telah memberikan sifat iri (cemburu) untuk wanita dan jihad untuk lelaki. Jika seorang wanita melatih kesabarannya dengan iman dengan mengharapkan pahala dari sesuatu perkara yang menyebabkannya menjadi cemburu (iri hati), seperti misalnya suaminya menikahi istri kedua, maka ia akan menerima ganjaran seorang syahid”.

Sunday 13 November 2011

mutiara kata....

"Jangan memandang ke bawah (untuk mengetahui kekuatan tanah yang dipijak) sebelum memulakan langkah. Hanya mereka yang menetapkan pandangan mereka ke arah horizon yang jauh dihadapan sahaja yang akan menemui jalan sebenar."